Belina Shop

Nik Aziz Keluarkan Kenyataan Yang Tidak Munasabah

MANEK URAI 26 Jun - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak wajar mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan rakyat apabila menyamakan perjuangan UMNO seperti ajaran sesat Ayah Pin dan komunis.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, ini kerana Nik Abdul Aziz pernah bertanding di Kelantan atas tiket Barisan Nasional semasa parti itu bersama Barisan Nasional (BN) satu ketika dulu.

"Dia bermain politik macam UMNO juga dan kita pula tidak kurang berusaha berjuang ke arah kepentingan Islam. Tak munasabah dia cakap macam ini.

"Dia dulu bersama BN juga. Tahun 1967 dia bertanding pada pilihan raya kecil di Kelantan dia bersama kita. Pada tahun 1974 masa Kelantan dikuasai BN, dia bertanding di Bachok atas tiket BN. Kenapa nak timbulkan perkara yang boleh mengelirukan pemikiran rakyat?" katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan penduduk setempat di Sekolah Kebangsaan Manek Urai Baru di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha BN Kelantan, Datuk Alwi Che Ahmad dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Abdul Rahman.

Mengenai Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai tidak lama lagi, beliau berkata, BN mempunyai keupayaan untuk memenanginya jika calon yang diketengahkan bersesuaian dengan kehendak masyarakat setempat.

"Memang dari dulu saya cadangkan calon-calon patut dipilih mengikut pilihan orang ramai kerana kadangkala pilihan dari atas tidak tepat," ujarnya.

Beliau berkata, isu pilihan raya kali ini turut berkisar tentang kerajaan perpaduan yang dicetus oleh pemimpin Pas sendiri.

"Mereka sudah mula menunjukkan tanda-tanda perpecahan kerana isu ini selepas muktamar dan sehingga kini kalangan mereka ternyata masih bermasam muka," ujarnya.

Sehubungan itu beliau menasihatkan pe ngundi di Manek Urai supaya memberikan kemenangan kepada BN bagi membolehkan ia menunaikan segala janji.

"Jika Pas menang, ia tidak merubah apa-apa kerana kerajaan negeri terus kekal dan kehidupan masyarakat kembali seperti biasa. Berikan BN kemenangan dan kita buktikan janji ditunaikan," katanya.

0 comments:

Post a Comment